Pegawai kanan polis bergelar Datuk direman SPRM - Utusan Malaysia

Pegawai kanan polis bergelar Datuk direman SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pegawai kanan polis bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah lebih RM100,000 di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan Datuk tersebut direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, pegawai kanan berusia 56 tahun itu tiba di mahkamah memakai baju lokap tahanan SPRM dengan tangan bergari.

Semalam, akhbar melaporkan individu tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM pukul 7.10 petang kelmarin selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, Datuk yang berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) disyaki meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM103,000 pada Ogos 2017 sehingga Ogos lalu.

Tambah sumber, penahanan suspek juga adalah susulan operasi yang dilaksanakan pada 3 September lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN