KUALA LUMPUR 27 Okt. – Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berdepan detik cemas apabila tonto yang melindungi gadis pelayan pelanggan (GRO) melibatkan warga asing cuba merempuh mereka dalam cubaan menghalang Op Mega 3.0 di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kejadian tersebut berlaku semasa pegawai terbabit membawa pulang kesemua warga asing itu ke Ibu pejabat Imigresen di Putrajaya.
Menurut beliau, ketika dalam perjalanan didapati terdapat beberapa kenderaan dipercayai tonto mengekori konvoi unit operasi khas tersebut.
Beliau berkata, dua buah kenderaan berjaya ditahan di Putrajaya manakala dua lagi dipandu secara melulu dan cuba merempuh pegawai imigresen, namun kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
“Sebanyak 110 orang telah diperiksa dalam serbuan terbabit dan daripada jumlah itu, 73 wanita dan 16 lelaki warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
“Empat warga tempatan yang disyaki bekerja sebagai pengurus premis dan juruwang ditahan bagi membantu siasatan. Selain itu, sebanyak lapan saman saksi dikeluarkan ke atas pelanggan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE










