Pegawai Imigresen didakwa rasuah - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 30 Okt. – Seorang pegawai Imigresen negeri gred KP17 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha feri, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Nazari Mohamed, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak RM70,000 daripada pemilik syarikat pengangkutan feri Panti Bistari Travel & Tour Sdn. Bhd. antara pukul 12.50 tengah hari hingga 1 petang pada 28 Januari 2012.

Mohd. Nazari didakwa melakukan perbuatan itu kononnya untuk tidak mengganggu perniagaan syarikat terbabit dan melancarkan kemasukan penumpang feri yang diuruskan dari Batam, Indonesia ke Tanjung Belungkor, Kota Tinggi dekat sini.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kluang, Jalan Dato’ Kapten Ahmad, Kluang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM23,000 daripada pemilik feri terbabit sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan sama terhadap perniagaan feri tersebut.

Perbuatan kedua didakwa dilakukan tertuduh di alamat Nombor 30, Jalan SS8/10, Taman Sri Saujana, Kota Tinggi antara pukul 10.20 malam hingga 10.30 malam pada 31 Januari 2012. – UTUSAN  ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN