Pecah amanah: Bekas pemandu dipenjara 12 bulan, denda RM10,000 - Utusan Malaysia

Pecah amanah: Bekas pemandu dipenjara 12 bulan, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Seorang bekas pemandu dihukum penjara 12 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah berhubung wang kutipan hasil penghantaran barang lebih RM14,000 milik sebuah syarikat pengangkutan, Mac lalu.


Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas Sharudin Musa, 44, mengaku bersalah sebagai subcon rider yang diamanahkan dengan wang kutipan hasil pengangkutan barang berjumlah RM14,315.75 telah melakukan pecah amanah terhadap wang tersebut untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat Ninja Logistics (M) Sdn. Bhd., Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Chow Kit, di sini antara 12 Mac dan 9 Jun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mahkamah turut memerintahkan Sharudin menjalani hukuman penjara lapan bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda itu.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat namun Sharudin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri tidak bekerja dan dua anak yang masih kecil.


“Isteri saya kini sedang mengandung anak ketiga dan dijangka melahirkan anak dalam pertengahan bulan Mei nanti. Saya juga menanggung bapa mentua, jadi saya memohon dikenakan hukuman ringan,” katanya.


Mengikut fakta kes, tertuduh telah ditugaskan untuk membuat penghantaran kepada pelanggan dan setelah bayaran diterima, tertuduh perlu memasukkan wang tersebut ke dalam akaun syarikat.


Hasil semakan syarikat melalui sistem ‘Proof Of Delivery System’ barangan tersebut telah diterima oleh pelanggan dan bayaran telah diserahkan kepada tertuduh namun tiada wang dimasukkan ke dalam akaun syarikat berkenaan. – UTUSAN ONLINE




Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini