PDRM pertimbang cadangan tubuh jabatan khas jenayah alam sekitar - Utusan Malaysia

PDRM pertimbang cadangan tubuh jabatan khas jenayah alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertimbangkan cadangan penubuhan jabatan khas dalam usaha untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar terutamanya membabitkan kecurian dan kemusnahan alam di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini, PDRM sudah mempunyai banyak unit dan sekiranya perlaksanaan cadangan itu dijalankan, ia akan melibatkan penambahan bajet, pegawai dan anggota.

“Penambahan anggota yang kita minta untuk 69 komando dan Unit Tindakan Khas (UTK) pun masih belum diluluskan oleh pihak kerajaan.

“Bagaimanapun, kita akan fikirkan mengenai cadangan itu namun, penambahan anggota tidak sesuai ketika ini memandangkan kekangan kewangan daripada pihak kerajaan” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Menembak Persekutuan Antarabangsa (IPSC) Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM di Kompleks Tempur Jarak Dekat, Briged Utara, Ulu Kinta di sini hari ini.

Hadir sama, Komander 69 Komando, Datuk Fisol Salleh, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah dan Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Datuk Seri Asri Yusoff.

Mohamad Fuzi mengulas mengenai perkara tersebut ketika ditanya pemberita mengenai cadangan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang menyarankan penubuhan jabatan khas dalam usaha untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar.

Menurut Lam Thye, walaupun ada antara kesalahan dilakukan terletak di bawah bidang kuasa agensi lain, peranan polis mampu membantu mengekang kegiatan jenayah berkenaan yang semakin menjadi-jadi.

Selain itu, tegasnya, cadangan itu juga bertujuan untuk membanteras sindiket yang terbabit dalam pemburuan haram, kecurian balak dan kayu gaharu serta penerokaan tanah haram.

Dalam pada itu, menurut Mohamad Fuzi, idea itu amat baik namun, dengan kekangan kewangan daripada pihak kerajaan perlu diambil kira dalam melaksanakan cadangan daripada pihak luar. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN