KUALA LUMPUR 28 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran menubuhkan jabatan khas bagi membanteras jenayah alam sekitar yang semakin berleluasa khususnya membabitkan kecurian dan kemusnahan khazanah alam di seluruh negara.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun ada di antara kesalahan yang dilakukan terletak di bawah bidang kuasa agensi lain dan kerajaan negeri, namun peranan PDRM diyakini mampu mengatasi jenayah alam sekitar termasuk mengekang pencemaran yang semakin ketara sehingga menyebabkan pelbagai kesan negatif termasuk menjejaskan kesihatan umum.
“Langkah pencegahan jenayah alam sekitar oleh pihak PDRM ini amat kena pada masanya dan selaras dengan tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani jenayah alam sekitar yang turut dikaitkan dengan isu integriti dan amalan rasuah yang berleluasa.
“Aspek penguatkuasaan bersama PDRM dan agensi berkaitan dapat membantu mengatasi pembangunan tidak terkawal di kawasan cerun yang menjadi penyebab utama kejadian tanah runtuh yang sering dilaporkan sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, penubuhan jabatan khas itu juga boleh digunakan untuk membincangkan isu-isu berkaitan seperti pencerobohan hutan, pembalakan haram dan kezaliman terhadap hidupan liar atau haiwan lain yang akan memberikan implikasi negatif terhadap masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










