KUALA LUMPUR 22 Okt. – Payments Networks Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) memperkenalkan perkhidmatan pembayaran baharu yang membolehkan pelanggan bank membuat pemindahan wang menggunakan nombor telefon bimbit penerima.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, DuitNow bakal mengubah landskap pembayaran di Malaysia dengan menyediakan kemudahan, kecekapan dan ketersediaan dana segera 24 jam sehari.
Katanya, menerusi DuitNow, pelanggan hanya perlu membuat pendaftaran satu kali untuk menghubungkan nombor telefon bimbit mereka dengan nombor akaun bank bagi menerima pembayaran.
“DuitNow membolehkan pelanggan bank menerima pembayaran tanpa mendedahkan akaun bank mereka dan pemindahan hanya boleh dilakukan menerusi saluran perbankan internet bank-bank yang mengambil bahagian,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











