KUALA LUMPUR 27 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355), antara 117 akta yang akan dimansuhkan dan dipinda.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, langkah itu bagi membuktikan komitmen kerajaan PH dalam mengangkat institusi mahkamah syariah dan memperbaharui undang-undang berkaitan jenayah Syariah di negara ini.
“Pas menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membuat pertimbangan sewajarnya supaya Akta 355 disenaraikan antara akta yang bakal dipinda.
“Selain itu, kesemua rang undang-undang baharu yang akan digubal mesti dipaparkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Rabu lalu, Vui Keong berkata, kerajaan PH bercadang memansuh, memperkenal serta meminda kira-kira 117 akta sebagai langkah reformasi undang-undang di negara ini.
Ia turut membabitkan Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Pada 6 April tahun lalu, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa RUU 355 buat kali ketiga bagi meminda Seksyen 2 dalam akta berkenaan di Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE










