KOTA BHARU 14 Okt. – Pas memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disifatkan berjaya mengendalikan keseluruhan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan baik dan lancar.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan PRK tersebut, SPR mula menampakkan suatu reformasi serta penambahbaikan terhadap pengendalian proses pilihan raya di negara ini.
“Pas turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun serta warga SPR kerana telah berjaya mengendalikan jentera SPR dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Takiyuddin dalam pada itu berkata, Pas mengucapkan terima kasih kepada para pengundi Port Dickson yang telah keluar mengundi, khususnya kepada yang mengundi calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.
“Atas semangat demokrasi pilihan raya, Pas turut mengucapkan tahniah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memenangi PRK Port Dickson, semalam.
Dalam PRK tersebut, Anwar memperoleh 31,016 undi menewaskan calon Mohd. Nazari dan lima calon Bebas iaitu Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Saiful Bukhari Azlan. – UTUSAN ONLINE










