PULAU PINANG 14 Okt. – Pas negeri menerusi Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini melakukan misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir di Sik dan Baling, Kedah hari ini.
ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, program berkenaan bermula pagi tadi membabitkan seramai 25 sukarelawan Pas, Muslim Care dan Kelab A4C Pulau Pinang.
Katanya, sebanyak 200 keluarga yang terjejas akibat banjir di dua daerah berkenaan menerima bantuan makanan seperti beras, biskut, gula dan minyak masak.
“Lokasi pertama yang disinggahi ialah di Kampung Baru, Kampung Lalang dan Tanjung Pari di Baling.
“Berdasarkan tinjauan, keadaan banjir sudah mulai surut, namun terdapat beberapa buah rumah rosak teruk malahan ada yang hampir runtuh kerana berlaku hakisan tanah berhampiran sungai akibat arus deras ketika banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, di Sik, beberapa mangsa di Kampung Melaka, Kampung Landai dan Belantik turut dibantu. – UTUSAN ONLINE










