KUALA LUMPUR 27 Okt. – Himpunan Bantah Pengiktirafan Hak Asasi Manusia Acuan Barat akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membantah tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang komited meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pelaksanaan perjanjian yang dikatakan selaras dengan manifesto PH itu boleh mengakibatkan pelbagai ancaman khususnya melibatkan Perlembagaan Persekutuan.
Tegas beliau, lebih memburukkan keadaan Malaysia akan terikat, tunduk dan dikawal oleh kuasa luar secara tidak langsung.
“Isu-isu kebebasan untuk murtad serta penghapusan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera akan tergadai sekiranya negara meratifikasi perjanjian-perjanjian ini.
“Tambahan pula, semua peruntukan perjanjian akan tertakluk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy mengesahkan kerajaan PH komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.
Katanya, komitmen itu bukan hanya diberikan oleh beliau malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof. – UTUSAN ONLINE










