SEREMBAN 20 Okt. – Semua parti politik yang menerima dana daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2013 perlu memulangkan semula wang itu kepada kerajaan.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, siasatan menunjukkan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengagihkan sebanyak RM470 juta kepada parti komponen BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM16.5 juta diberikan kepada MCA dan beliau tidak percaya bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek tidak mengetahui dana berkenaan dari sumber 1MDB.
“Dia mesti tahu kerana isu 1MDB sudah timbul pada 2013. Walaupun dia kata ‘jika ayah bagi wang takkan anda tanya dari mana?’ namun jika syak ada sesuatu yang tidak kena, (Soi Lek) perlu tanya,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Sanawi Ke-47 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Soi Lek bahawa MCA tidak tahu sumber dana pilihan raya yang diterima parti itu dan tidak bertanyakan kepada Najib mengenai perkara tersebut.
Soi Lek juga berkata, sekiranya parti itu diminta untuk memulangkan wang tersebut kerajaan perlu merujuk kepada pimpinan parti ketika ini. – UTUSAN ONLINE











