KUALA LUMPUR 20 Okt. – Parti Perpaduan Nasional (PPN) atau ‘parti bawah pokok’ menjadi satu lagi parti politik baharu yang akan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU-14).
Menurut Presiden Penajanya, Abdul Halim Ali, penubuhan parti itu adalah rentetan situasi selepas PRU-14 yang menyaksikan rakyat semakin berpecah belah dan tertekan dengan kos sara hidup, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.
Kata beliau, parti tersebut ditubuhkan atas usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbaiah yang merasakan kini sudah tiba masanya bagi mereka menggunakan wadah politik untuk menyuarakan isi hati rakyat terbanyak.
“Visi dan misi perjuangan PPN adalah untuk membawa suara rakyat kepada pemerintah sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, memperjuang kepentingan awam, memperjuangkan isu kemanusiaan, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya untuk kesejahteraan rakyat.
“PPN akan bergerak bersendirian tanpa memihak kepada mana-mana pakatan politik sedia ada supaya lebih bebas untuk membawa suara rakyat,” katanya ketika sidang akhbar penubuhan parti tersebut di Taman Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.
Menurut Setiausaha Agung Penajanya, Yahya Long Ali, parti tersebut telah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 23 Julai lalu dan kini masih menunggu kelulusan jabatan tersebut. – UTUSAN ONLINE








