KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mahu meningkatkan aspek kualiti dalam pembelajaran dan pengajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara berbanding menjadikan ranking institusi berkenaan sebagai matlamat utama.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, kerajaan Pakatan Harapan ingin melihat kualiti para pensyarah, graduan, kurikulum dan kecekapan mengurus kos dalam ekosistem yang lebih mapan, dan kementerian Pendidikan berpendirian bahawa ranking adalah penting tetapi bukan menjadi matlamat utama sesebuah IPT.
“Sebaliknya aspek yang sedang mendapat perhatian serius kementerian adalah untuk meningkatkan kualiti berteraskan nilai dan kemanusiaan melalui elemen kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang ingin tahu mengenai usaha-usaha yang diambil untuk membaiki kedudukan universiti-universiti tempatan utama di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun menurutnya kementerian akan terus berusaha memperkukuh kedudukan Universiti Awam di peringkat antarabangsa dengan memperbanyakkan program ‘partnership’ dan kolaborasi bersama institusi terkemuka dunia melalui skim padanan geran penyelidikan. – Bernama










