KUALA LUMPUR – Dalam menggubal Akta Gangguan Seksual, beban bukti di pihak mangsa turut dikaji termasuk kemungkinan memperkenalkan piawaian berbeza dalam memastikan jenayah itu dapat dibuktikan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Beliau berkata, banyak mangsa gangguan seksual tidak melaporkan kes itu kerana jenayah itu bersifat subjektif dan sukar untuk mengemukakan bukti bahawa mereka menjadi mangsa.
“Gangguan seksual sangat subjektif, kadang-kadang ia bukan fizikal tapi lisan, kata-kata anda menentang kata-kata saya, jadi bila kita mahu gubal akta itu nanti, kita akan pastikan beban bukti di pihak mangsa mengikut piawaian berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengenai akta itu yang tidak sempat dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini.
“Untuk hukuman bagi jenayah itu, senario paling teruk pun buang kerja sahaja dan kalau kita mahu pergi jauh mahu pastikan dia dipenjara kena guna Kanun Keseksaan dan banyak mangsa tidak bersedia, sebab itu kenapa kita perlukan akta spesifik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. – Bernama











