Parlimen: 17 produk makanan dan minuman dikesan guna bahan terlarang - Utusan Malaysia

Parlimen: 17 produk makanan dan minuman dikesan guna bahan terlarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 17 produk makanan  dan minuman yang dijual di pasaran menggunakan bahan terlarang, sejak tahun lepas sehingga kini.

Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, ia hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas 439 sampel pelbagai jenis produk makanan dan minuman di pasaran.

“Selepas dianalisis, didapati produk-produk tersebut menggunakan bahan terlarang seperti steroid dan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas pengeluar atau penjual bagi produk berkaitan dan sebagai contoh kita telah mengenakan tindakan terhadap penjualan Jus Al-Sunnah yang mengandungi steroid,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu tindakan kementerian dalam memantau dan membendung pasaran produk makanan tambahan yang menggunakan  bahan terlarang.

Menjawab soalan tambahan Ismail yang ingin tahu langkah proaktif diambil kementerian bagi mengatasi masalah tersebut, Boon Chye berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memantau dan menyekat laman web penjualan produk makanan dan minuman sekiranya  melanggar akta.

Boon Chye berkata, mereka yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN