Para graduan diingatkan tidak terlalu mementingkan aspek kebendaan - Utusan Malaysia

Para graduan diingatkan tidak terlalu mementingkan aspek kebendaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 28 Okt. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan para graduan supaya menjauhkan diri dan tidak terlalu mementingkan aspek kebendaan.

Titah baginda, jika sikap ini tidak mampu dikawal, tidak mustahil boleh membawa kepada tingkah laku negatif serta terjerumus dalam jenayah kolar putih seperti pecah amanah, rasuah, salah guna kuasa dan penipuan.

“Perkara tersebut perlu dielak dan seharusnya dijauhi oleh seorang pekerja yang berjaya,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan sidang ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-13, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) 2018 di Unimap, Pauh Putra, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menasihatkan semua graduan supaya menjadi seorang insan yang cemerlang dengan pelbagai ilmu selain berfikiran matang serta tahu menentukan sesuatu yang baik atau buruk.

“Sesungguhnya, matlamat itu tidak akan pernah menghalalkan cara. Oleh itu, berdirilah di atas paksi keupayaan diri sendiri dan bersikap jujurlah dalam melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan,” titah baginda.

Pada sidang tersebut, Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan Ijazah Sarjana Muda kepada seramai 657 graduan daripada bidang Komunikasi Media Baharu (153 penerima); Perniagaan Antarabangsa (258) dan Keusahawanan Kejuruteraan (246). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN