Pandemik influenza bakal ragut lebih banyak nyawa - Utusan Malaysia

Pandemik influenza bakal ragut lebih banyak nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 5 Mac 1918 menyaksikan satu wabak dikenali sebagai flu Sepanyol menyerang satu per tiga populasi manusia yang mencetuskan perbincangan dalam kalangan pakar-pakar perubatan di seluruh benua.

Dalam kancah Perang Dunia Pertama kebanyakan negara cenderung mengawal serta menyembunyikan berita mengenai penyebaran wabak.

Namun, Sepanyol lebih terbuka dalam pelaporan data dan maklumat pesakit membuatkan ramai menganggap penyakit itu berasal dari negara tersebut.

Dipercayai sebahagian besar kes selesema pada dekad tersebut sebenarnya berasal dari Amerika Syarikat dan meragut nyawa tentera serta orang muda.

Selepas seabad sejarah hitam itu berlalu, para saintis mengutarakan rasa bimbang kerana dunia masih tidak bersedia menghadapi wabak pembunuh global pada masa depan.

Mereka menjangka perubahan demografi, daya rintangan antibiotik dan perubahan iklim dikhuatiri akan merumitkan situasi penyebaran wabak pada masa akan datang.

Saintis turut meramalkan pandemik influenza pada masa depan mempunyai kebarangkalian tinggi berpunca daripada burung. Ia kemudiannya lebih mudah menjangkiti manusia melalui udara. Penyakit ini dijangka bakal mengorbankan sehingga 150 juta nyawa.

Malnutrisi

“Kita turut menghadapi cabaran baharu termasuk peningkatan populasi penduduk lanjut usia serta mereka yang menghidap diabetes dan obesiti,” ujar pakar Institut Penyakit dan Kekebalan Badan Peter Doherty dari Universiti of Melbourne, Dr. Caroline Van de Sandt.

Van de Sandt dan pasukannya telah meneliti reaksi data mengenai flu Sepanyol di samping tiga lagi kes berprofil tinggi iaitu flu Asia 1957, flu Hong Kong 1968 dan flu babi pada tahun 2009.

Mereka mendapati, meskipun flu Sepanyol menjangkiti satu dalam tiga orang, kebanyakan pesakit berjaya bertahan dengan jangkitan yang teruk sementara pesakit lain hanya menunjukkan gejala ringan.

Kali ini, penyelidik meramal wabak baharu yang masih belum diketahui dijangka meledak pada masa depan mempunyai paten berbeza daripada kes-kes sebelumnya.

Penyelidik dari Pusat Pengajian Kimia dan Biosains Universiti Queensland, Kirsty Short berkata, pada tahun 1918, dunia sedang bergelut dengan kejatuhan ekonomi impak akibat perang global. Virus itu menjadi dahsyat kerana kadar malnutrisi yang tinggi.

“Apa yang kami tahu berdasarkan pandemik yang berlaku pada tahun 2009, mereka yang menghidap penyakit tertentu seperti diabetes dan obesiti lebih cenderung dimasukkan ke hospital dan mati akibat influenza.

Pasukan itu turut memberi amaran bahawa dunia berkemungkinan menghadapi beban berganda ekoran isu kekurangan zat makanan yang melanda negara-negara miskin. Keadaan ini diburukkan lagi oleh perubahan iklim dengan peningkatan perjalanan udara global.

Memandangkan banyak wabak bermula dengan burung, suhu Bumi yang semakin panas boleh mempercepatkan penyebaran virus.

Penyelidikan mendedahkan, berdasarkan data pada tahun 1918, individu berusia mempunyai daya tahan tubuh jauh lebih baik berbanding individu dewasa muda.

Kebal

Pasukan itu mempunyai teori, sebahagian besar warga emas mempunyai beberapa peringkat kekebalan imuniti melalui beberapa siri jangkitan sebelumnya.

Kebanyakan yang terbunuh pada tahun 1918 iaitu daripada kira-kira 50 juta orang, 2.5 peratus daripada mereka yang dijangkiti mati akibat jangkitan bakteria sekunder kerana terdapat suatu elemen seperti antibiotik yang membantu meringankan pandemik sebelumnya.

Penyelidik dari Institut Doherty Melbourne, Katherine Kedzierska pula melihat pada masa kini, banyak bakteria bermutasi dan kebal terhadap antibiotik.

“Ini meningkatkan risiko orang ramai terkena jangkitan dan mati akibat jangkitan bakteria sekunder semasa wabak pandemik akan datang.

“Misalnya, selesema burung atau avian influenza A (H7N9) mampu membunuh kira-kira 40 peratus pesakit yang dijangkiti.

“Buat masa ini tiada virus yang berkeupayaan disebarkan berpunca daripada manusia kepada manusia. Namun, virus hanya perlu membuat beberapa perubahan minor untuk mencetuskan paten pandemik influenza baharu,” katanya.

Secara semula jadi, serangan virus pandemik tidak boleh diramal. Namun, kerajaan boleh melabur dalam penyelidikan vaksin.

“Sehingga suatu vaksin bersifat sejagat dicipta, kerajaan mesti memaklumkan kepada orang ramai tentang apa yang diharapkan dan cara bertindak semasa pandemik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN