Pandelela, Muhammad Fitri terima Ijazah Sarjana Muda - Utusan Malaysia

Pandelela, Muhammad Fitri terima Ijazah Sarjana Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Lebih lima tahun bergelut antara bidang akademik dengan karier sebagai atlet, ratu terjun negara, Pandelela Rinong Anak Pamg akhirnya berjaya menarik nafas lega dan tersenyum setelah dianugerahkan segulung ijazah pada majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-58 hari ini.

Pandelela, 25, yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Sains Pengurusan Sukan setelah memulakan pengajian di UM pada September 2012.

“Syukur dan sangat gembira dengan ijazah yang diterima. Walaupun agak lama mengambil masa untuk menghabiskan pengajian, namun saya tetap berbangga dikurniakan anugerah tidak terhingga ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jujur bukan mudah untuk saya membahagikan masa antara pelajaran dan karier sukan. Di samping belajar, saya juga perlu melakukan persiapan bagi menghadapi pelbagai kejohanan yang disertai,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Dewan Tunku Canselor UM di sini hari ini.

Pandelela menerima ijazah daripada Pro Canselor UM, Tan Sri Diraja Ramli Ngah bagi sidang ketujuh istiadat konvokesyen tersebut.

Ditanya megenai perancangan masa hadapan, beliau berhasrat menyambung pengajiannya di peringkat sarjana dalam bidang sama namun masih dalam proses pertimbangan.

Menurutnya, selepas tamat pengajian dan bergraduasi, dia boleh memberikan lebih banyak fokus, komitmen dan masa kepada karier yang diceburinya.

Berkongsi perasaan sama ialah atlet hoki negara, Muhammad Fitri Saari yang meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan gembira atas kejayaannya menamatkan pengajian dalam bidang sama setelah hampir enam tahun berhempas pulas menempuhinya.

Katanya, walaupun sedikit terkilan kerana tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman bermula 18 Oktober lalu kerana perlu menghadiri majlis konvokesyen, namun keputusannya itu tepat kerana ia merupakan satu lagi pencapaian dirinya dalam bidang akademik yang perlu diraikan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini