JAKARTA 27 Okt. – Kota Palu bakal berdepan krisis kesihatan berikutan musim tengkujuh yang dijangka menyebabkan ancaman wabak malaria dan demam denggi di kawasan tersebut.
Minggu lalu, pihak berkuasa tempatan menggugurkan bahan pembasmi bakteria melalui helikopter di kawasan paling teruk terjejas di bandar berkenaan bagi mengatasi penularan wabak penyakit.
Agensi Mitigasi Bencana Indonesia memberitahu, langkah terbabit adalah penting untuk membendung pembiakan lalat, lipas dan tikus.
Namun, kumpulan bantuan kemanusiaan dikatakan khuatir berikutan peningkatan kes cirit-birit dan jangkitan pernafasan selain kes penyakit bawaan nyamuk termasuk malaria serta demam denggi.
Hujan monsun diramalkan berlaku dalam tempoh beberapa bulan dikhuatiri memburukkan lagi keadaan di bandar tersebut.
“Kita akan menyaksikan lebih ramai orang mendapat penyakit berdasarkan bagaimana sukarnya untuk mengekalkan standard kebersihan, ditambah dengan hujan yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk.
“Beratus atau beribu mayat dipercayai masih lagi tertimbus,” kata Pengerusi Yayasan Sayangi Tunas Cilik, Selina Sumbung.
Menurut pihak berkuasa, kos kerugian akibat kemusnahan yang berlaku telah meningkat kepada AS$900 juta (RM3.7 bilion) manakala Bank Dunia menawarkan pinjaman sehingga AS$1 bilion (RM4.1 bilion) untuk memulihkan semula Palu. – AFP










