LIPIS – Keputusan sama ada pemain Pahang, Muhamadou Sumareh dapat menyertai pasukan kebangsaan masih belum ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pengurusan persatuan belum mengadakan perbincangan bagi melepaskan pemain kelahiran Gambia itu untuk menyertai pasukan negara.
“Kita tidak dapat keputusan rasmi lagi. Mungkin itu cakap-cakap dan kita akan berbincang di peringkat persatuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hari ini media melaporkan sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Hang Tuah semalam tidak dihadiri Sumareh berikutan dipercayai belum mendapat pelepasan dari Pahang.
Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang sebelum ini dilaporkan berkata, pasukan itu tidak mempunyai halangan untuk Sumareh dan dua lagi pemain Pahang untuk mewakili negara.
Penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha dan pemain pertahanan Matthew Davies telah pun mendaftar masuk kem bersama-sama 21 pemain lain.
Skuad Harimau Malaya yang dikendalikan oleh Ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe menjalani latihan pada hari kedua tanpa kelibat pemain naturalisasi asing pertama negara, Mohamadou Sumareh di Stadium Hang Tuah hari ini. – Foto MOHD AZIM ABD RAHMAN
Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap Pahang akan melepaskan pemain naturalisasi berusia 27 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasukan negara.
Tan berkata FAM sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan Sumareh dari Pahang.
Skuad negara akan berlatih selama tiga hari di Melaka sebelum berlepas ke Colombo pada Rabu untuk menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan pada 12 Oktober.
Bagaimanapun difahamkan, Sumareh dalam perjalanan dari Kuantan ke Melaka hari ini untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan. – Bernama











