TOKYO. Jepun – Atlet tinju sensasi Asia, Manny Pacquiao mengakui sedang berunding dengan jaguh tinju No. 1 dunia, Floyd Mayweather untuk melakukan pertarungan ‘ulangan’ yang dijangka berlangsung pada tahun depan.
Sebagai rekod, kedua-dua jaguh tinju antarabangsa itu telah mengadakan pertarungan yang dianggap sebagai terbesar di dunia pada tahun 2015 yang menyaksikan keputusan berpihak kepada Mayweather.
Namun, atlet kelahiran Filipina berusia 39 tahun itu percaya pihaknya sedang berusaha untuk mengatur semula pertarungan dengan Mayweather tetapi mahu fokus dengan aksi bertemu Adrien Broner pada Januari depan.
“Saya difahamkan Mayweather telah mengatur satu pertarungan pada Disember depan manakala saya pula sedang sibuk dengan persiapan menentang Broner yang bakal dilangsungkan 12 Januari nanti.
“Selepas itu mungkin kami akan berbincang dengan lebih serius kerana dia (Mayweather) seperti sudah kembali daripada persaraan. Saya sentiasa bersedia untuk menentangnya pada tahun depan,” katanya.
Kali terakhir Pacquiao bertarung adalah pada Julai lepas yang menyaksikan dia berjaya menewaskan jaguh Argentina, Lucas Matthysse secara ‘knockout’ untuk merampas kejuaraan WBA welterweight dalam pertarungan sengit di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Mayweather terlebih dahulu menyatakan minat untuk bertarung dengan juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov yang mencipta fenomena antarabangsa selepas menewaskan Conor McGregor awal bulan ini. – Agensi










