Orang muda tidak minat buat boko - Utusan Malaysia

Orang muda tidak minat buat boko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rumpun buluh yang tumbuh menjulang tinggi di belakang rumah Anuar Awang di Jempol, Negeri Sembilan bagai membawa bersama ruas-ruas sejarah kegemilangannya yang pernah terjulang dalam pembuatan kraf berasaskan bahan alam itu.

Hasil tangan Anuar, 72, yang mesra dipanggil Pak Anuar bukan biasa-biasa apabila pernah meraih Rekaan Terbaik Malaysia (Malaysia Good Design) 2012 oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM). Beliau bahkan menerima pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibnu Almarhum Tuanku Munawir dua tahun lalu.

Anugerah dan kurnia itu sudah cukup menggambarkan jasanya dalam penghasilan kraf boko di Negeri Sembilan. Boko ialah kraf tangan diperbuat daripada buluh yang berupa bakul.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut loghat Negeri Sembilan, boko bermaksud bekas atau tempat khas yang dipanggil kepuk atau tampin bagi meletakkan dodol atau wajik yang dibawa bersama pada majlis perkahwinan, pelantikan ketua adat dan sebagainya.

Anuar memperindah inovasi pembuatan boko daripada buluh yang berbentuk empat segi itu sehingga ia menjadi barangan cenderamata yang menarik, sebagai salah satu kraf tangan yang istimewa dari Negeri Sembilan.

Sebanyak 500 unit boko yang dihasilkannya juga pernah dibeli Majlis Perbandaran Seremban beberapa tahun lalu semasa usaha mempromosikan ibu negeri Negeri Sembilan itu bersama Nilai supaya menjadi bandar raya.

Namun, itu kisah lalu. Kini, lelaki yang semakin lanjut usia itu sudah tidak mempunyai banyak tenaga untuk meneruskan perusahaan krafnya. Tambah mendukacitakannya apabila perusahaan kraf tangan boko daripada buluh itu mungkin akan mati tanpa ada legasinya.

“Kalau ikutkan saya pada masa ini sudah memperlahankan pengeluaran. Sejak dua tahun lalu, saya semakin tidak berdaya. Inipun tinggal 25 peratus sahaja sisa-sisa kudrat yang ada.

“Dahulu, ada juga empat atau lima orang yang mengusahakan kraf boko ini di Negeri Sembilan, tetapi sekarang saya rasa saya seorang sahaja,” kata anak jati Jempol itu yang mengusahakan perniagaan dinamakan Serting Hilir Kraf.

Kemahiran

Anuar kini menghidap penyakit darah tinggi, gout dan masalah buah pinggang. Di rumah, isterinya, S. Mariam Husin, 66, membantunya dalam tugas-tugas ringan pembuatan kraf itu seperti menampal dan menganyam.

Mengusahakan kraf boko sejak 2007, Anuar yang merupakan pesara tentera mempelajari seni pembuatan kraf hasil rimba iaitu buluh, rotan dan daun mengkuang daripada Desa Kraf kelolaan pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berhampiran rumahnya.

“Saya ingat pesan arwah ayah saya, dalam hidup ini, kita mesti mempunyai satu kemahiran, itulah yang saya lakukan selepas bersara.

“Memandangkan kerjaya saya dahulu sebagai tentera yang biasa dengan tugas-tugas kasar, ramai kawan yang tidak percaya saya menceburi kerja seni,” katanya.

Bercerita mengenai boko, Anuar berkata, ia amat serasi dengan budaya masyarakat di Negeri Sembilan yang berpegang kepada Adat Perpatih.

“Dalam Adat Perpatih, kita akan membawa boko atau sejenis bakul yang diisi dengan makanan seperti wajik apabila menziarahi saudara-mara, mertua dan sebagainya.

Inovasi

“Boko pada zaman dahulu diperbuat daripada buluh dengan berbentuk bulat. Kini, ia hadir dengan inovasi baharu dalam bentuk empat segi yang sesuai dijadikan cenderamata.

“Kraf buluh saya yang berbentuk kotak tisu pula pernah mendapat permintaan untuk dieksport ke Korea sebanyak satu kontena tetapi saya terpaksa menolaknya kerana tidak mampu untuk menyiapkan tempahan sebanyak itu,” katanya.

Datuk kepada 23 cucu itu berkata, untuk membuat boko, dia perlu menebang buluh dan melalui pelbagai proses penyediaan menggunakan mesin seperti mesin pemotong, mesin pengasah, mesin pelicin kedua-dua belah bilah buluh yang telah dipotong dan sebagainya.

Kesemua mesin itu adalah pemberian pihak Kraftangan Malaysia kepada usahawan kraf.

“Buluh yang digunakan mestilah buluh akar atau panggilan lainnya buluh minyak. Buluh ini sesuai untuk kraf kerana ia berurat lurus jadi lebih mudah dipotong.

“Selepas selesai penyediaannya, proses mereka bentuk pula yang melibatkan anyaman, tampalan dan penyambungan dilakukan.

“Rekaan boko yang saya hasilkan adalah berasaskan kehendak pelanggan. Memandangkan kesihatan saya kini tidak menentu, jika sesiapa mahu menempah ada syaratnya iaitu mereka harus bersetuju tempoh menyiapkannya saya tetapkan,” ujarnya tertawa.

Anuar berkata, untuk membuat boko apa yang penting ialah kesenian yang hadir daripada hati nurani.

“Saya mempunyai lapan orang anak tetapi daripada pengamatan saya, tidak ada seorang pun yang mempunyai bakat seni. Kerja seni tidak boleh dipaksa.

“Puas saya berusaha untuk mengajak orang ramai atau anak-anak muda yang berminat, tetapi tidak ramai yang boleh buat atau dapat kekal membantu saya.

Kursus kraf

“Bagaimana saya mampu melakukannya sedangkan usaha pihak Kraftangan Malaysia sendiri menyediakan kursus-kursus kraf tangan dengan pemberian elaun pun selepas tamat kursus tidak ramai yang mahu meneruskan pembuatan kraf. Inikan saya yang tak mampu memberikan mereka apa-apa?

“Ada juga anak muda yang berminat tetapi untuk menebang buluh sahaja. Saya kata, kalau kamu tebang tiga lori buluh sekalipun, kalau tidak ada siapa yang nak membuat krafnya, macam mana?” katanya.

Anuar berkata, ramai usahawan kraf yang memberhentikan perusahaan mereka sama ada kerana produk kurang mendapat sambutan atau kraf dijual pada harga yang mahal.

“Harga buluh masih murah dan tidak banyak berubah iaitu kira RM1.50 sebatang, tetapi tidak laku kerana ia dijual pada harga mahal mengambil kira proses keseniannya.

“Perusahaan ini juga tidaklah lumayan dan penerimaan tempahan pula tidak menentu. Mujur saya hanya menjadikannya sebagai pendapatan sampingan selepas bersara, jadi saya bersedia meletakkan harga yang agak rendah selain tidak begitu terkesan dengan kurangnya sambutan berbanding mereka yang memang mencari makan dengannya,” katanya yang biasanya cuma mendapat sekitar RM700 hingga RM800 sebulan.

Boko itu dijualnya bermula RM45 sebuah.

Menyentuh masa depan kraf boko dan perusahaannya, Anuar yang ketika itu menyusun langkah menuju ke tanaman buluhnya berkata, dia seolah ‘tidak nampak lagi jalannya’.

Katanya, kraf itu mungkin hanya tinggal nama melainkan apa yang terpamer di pusat-pusat kraf.

“Selepas saya ‘habis’, rasanya kraf ini pun akan turut habis.

“Kecewa itu memang kecewa tetapi kita tidak boleh memaksa sesiapa,” ujarnya.

Berusia 72 tahun, Anuar Awang yang dipercayai usahawan terakhir boko iaitu sejenis bakul berasaskan buluh khuatir tentang masa depan kraf istimewa itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini