Orang Melayu jangan ada pemikiran sempit  - Utusan Malaysia

Orang Melayu jangan ada pemikiran sempit 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG – Orang Melayu tidak perlu menyempitkan pemikiran serta pandangan mereka di sebalik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menegaskan bahawa zaman ketuanan bangsa itu telah berakhir. 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya sebaliknya mahu orang Melayu memahami intipati sebenar kenyataan Syed Saddiq itu yang bukannya bermaksud menolak sejarah apatah lagi menghapuskan kedudukan dan hak istimewa bangsa itu dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Tegas beliau, konsep ketuanan Melayu yang pernah dilaungkan oleh UMNO selama ini hanyalah satu slogan politik semata-mata sedangkan hala tuju bangsa itu tidak mengalami sebarang perubahan besar dari taraf sosioekonomi dan pemikiran mereka. 

“Selama ini orang bercakap pasal ‘ketuanan Melayu’, ‘hidup Melayu’ tapi bagaimana pula dengan kedudukan orang Melayu hari ini?. Orang Melayu berpecah, dengki dan memfitnah sesama sendiri.

“Malah ada juga pemimpin Melayu yang sepatutnya diamanahkan untuk menjaga orang Melayu tidak jujur terhadap bangsanya sendiri,” katanya. 

Pada masa sama, Abu Bakar tidak menolak kemungkinan isu ‘ketuanan Melayu’ sengaja dimainkan oleh pemimpin tertentu bagi menakut-nakutkan orang Melayu supaya mereka terus kekal berkuasa dan menduduki jawatan tertentu. 

“Hakikatnya, orang Melayu bukanlah bangsa yang mundur. Orang Melayu adalah bangsa yang dinamik dan mampu bersaing mengikut arus semasa asalkan mereka tidak dijumudkan dengan pemikiran yang tidak membawa kemajuan,” ujarnya yang meminta orang Melayu tidak mengenepikan pandangan golongan muda sebagai pewaris bangsa. 

Semalam, Syed Saddiq yang juga Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu  dilapor menyatakan zaman ketuanan Melayu telah berakhir. 

Bagaimanapun, kenyataan Ahli Parlimen Muar itu merujuk kepada kesaksamaan dan bukannya kesamarataan dengan kaum-kaum lain. 

Terdahulu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menghadiri majlis ramah mesra dan minum petang bersama hampir 200 peneroka Felda Lawin Selatan di sini hari ini. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Bersatu Bahagian Lenggong, Noor Hasnida Mohd. Hashim dan Pengurus Felda Lawin Selatan, Mohd. Kasidi Noor Mohd. Asri. 

Malah, majlis itu menyaksikan penyerahan 427 borang keahlian Bersatu oleh para peneroka sekaligus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN