Orang Melayu, bumiputera tidak lagi boleh bergantung pada Bersatu - Utusan Malaysia

Orang Melayu, bumiputera tidak lagi boleh bergantung pada Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 28 Okt. – Kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa zaman ketuanan Melayu telah berakhir mencerminkan seolah-olah parti itu tidak memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

NOOR HAIRI
NOOR HAIRI

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, Bersatu berbeza dengan UMNO dan Pas yang merupakan parti yang konsisten memperjuangkan Melayu dan Islam.

Sehubungan itu, beliau berharap orang Melayu di dalam Bersatu dan seluruh masyarakat sedar dan kembalilah bersama-sama dengan UMNO dalam memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan bumiputera khususnya.

“Tidak timbul pasal ketuanan Melayu, apa yang kami perjuangkan selama ini adalah hak-hak bangsa Melayu dan bumiputera yang telah di mempersetujui bersama semasa pembentukan negara ini.

“Mungkin Syed Saddiq tidak membaca sejarah penubuhan negara ini dengan jelas dan terperinci apabila mengeluarkan kenyataan seperti itu (zaman ketuanan Melayu sudah berakhir),” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menegaskan zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan parti itu.

Mengulas lanjut, Noor Hairi berkata, selama pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN), parti itu bukan sahaja memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan bumiputera sebaliknya hak-hak kaum lain juga tidak pernah diketepikan sama sekali.

“Orang Melayu dan bumiputera harus sedar bahawa mereka tidak boleh bergantung lagi dengan parti Bersatu dalam memperjuangkan hak mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN