BANDAR Panama, Amerika Syarikat (AS) – Pasukan mencari dan menyelamat menggeledah komuniti AS yang musnah kelmarin untuk mencari mangsa Taufan Michael iaitu ribut kategori empat yang membawa kemusnahan besar di kawasan semenanjung di barat laut Florida dikenali sebagai Florida Panhandle dan mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang di tiga buah negeri terbunuh.
Di bandar tepi pantai, Mexico Beach yang menyaksikan ketibaan Taufan Michael, rumah-rumah musnah akibat paras air laut meningkat dan sejumlah bot terdampar di jalan-jalan yang juga bersepah dengan pokok dan tiang elektrik tumbang.
Gabenor Florida, Rick Scott berkata, ribut itu mengakibatkan ‘kemusnahan yang sukar dipercayai’, manakala usaha kini ditumpukan kepada mencari mangsa terselamat dalam kalangan penduduk yang enggan berpindah.
“Saya amat bimbang dan berharap agar kita tidak mengalami kemalangan jiwa yang besar,” kata Scott kepada stesen televisyen ABC.
Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Darat AS berkata, lebih 2,000 anggota pasukan Pengawal Kebangsaan Florida menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana.
Sementara itu, enam kematian direkodkan akibat ribut berkenaan setakat semalam dengan empat dikesan di Daerah Gadsden, Florida dan masing-masing seorang di negeri Georgia serta Carolina Utara.
Pegawai-pegawai Florida berkata, lebih 400,000 kediaman dan premis perniagaan di negeri itu terpaksa bergelap, manakala Scott memberitahu bahawa hampir 20,000 pekerja utiliti dikerah untuk memulihkan bekalan elektrik.
Taufan itu yang semakin lemah dan dikategorikan sebagai ribut tropika, membadai bandar Mexico Beach dengan angin berkelajuan 250 kilometer sejam. Ribut itu adalah yang paling kuat pernah melanda barat laut Florida dalam tempoh 100 tahun. – AFP











