PULAU PINANG 20 Okt. – Operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini, akan disambung semula pukul 8 pagi esok selepas ditamatkan pukul 7 malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar berkata, operasi esok bagaimanapun bergantung kepada nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan struktur tanah di kawasan berkenaan.
Katanya, selain mencari baki tiga lagi mangsa yang masih hilang, pihaknya juga akan berusaha mengesan dua lagi mangsa warga Bangladesh yang dipercayai turut hilang dalam tragedi berkenaan.
“Maklumat terbaharu mengenai kehilangan dua warga Bangladesh itu menerusi rakan mereka lewat petang tadi,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, operasi esok akan menumpukan sektor ketiga termasuk mengangkat baki kontena dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dakwaan terbaharu terdapat dua pekerja Bangladesh yang dikhuatiri turut hilang masih dalam siasatan.
Katanya, ini kerana pengadu sendiri tidak memastikan kedua-duanya yang dikenali sebagai Ujal dan Rahat berada di situ ketika kejadian.
“Apa yang menjadi kebimbangan polis ialah kedua-duanya tidak memiliki permit kerja sah, tidak berada di sini ketika runtuhan serta tidak berani masuk ke sini selepas kejadian apabila mendapati pasukan polis dan anggota penyelamat berada di lokasi,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, jumlah rasmi mangsa yang diklasifikasi hilang oleh polis kekal sebanyak tiga orang. – UTUSAN ONLINE










