NEW YORK – Jabatan Polis New York (NYPD) kelmarin menarik balik hampir 3,000 kamera badan yang digunakan oleh anggotanya selepas insiden letupan berlaku, lapor sebuah akhbar.
Penarikan balik itu dilakukan setahun selepas NYPD melaksanakan program perintis pemakaian kamera badan.
NYPD mengambil semula kamera badan selepas peranti itu yang dipakai oleh seorang anggotanya, meletup ketika pertukaran syif malam pada Sabtu lalu, lapor akhbar Daily News.
“Anggota polis itu menyedari asap keluar dari bahagian bawah portal dan menanggalkan kamera itu dengan segera. Selepas ditanggalkan, kamera itu meletup,” kata jurucakap NYPD.
Anggota polis tersebut tidak mengalami kecederaan tetapi semua kamera badan jenis Vievu LE-5 itu dipanggil semula sebagai langkah keselamatan, tambah jurucakap itu.
Seramai 2,290 anggota polis NYPD menggunakan kamera badan LE-5 itu, demikian menurut buletin jabatan polis berkenaan.
Selain itu, latihan menggunakan kamera badan tersebut di akademi polis turut dibatalkan.
NYPD berkata, masalah itu bagaimanapun tidak membabitkan model kamera badan lama, LE-4 yang mana ia akan terus digunakan. Terdapat 15,500 kamera badan digunakan di seluruh jabatan polis tersebut. – Agensi










