KUALA LUMPUR 30 Okt.- Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) kecewa dengan kejadian yang menimpa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik minggu lalu sehingga menyebabkannya hampir tersungkur di lobi Parlimen selepas diserbu pengamal media.
NUJ dalam satu kenyataan memberitahu, kesatuan sentiasa mengingatkan ahli-ahlinya agar mengutamakan keselamatan ketika mendapatkan bahan berita dalam apa keadaan sekalipun.
“Kami prihatin dengan isu keselamatan di Parlimen sama ada membabitkan ahli-ahli Parlimen atau petugas media.
“Kesatuan kecewa dengan kejadian tersebut namun percaya ia hanya kemalangan dan tidak disengajakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Minggu lalu, Maszlee hampir terjatuh selepas di serbu pengamal media dekat lobi Parlimen bagi mendapatkan kenyataannya mengenai yuran pengajian Universiti Malaya (UM).
Maszlee ketika itu menjawab soalan dalam keadaan berjalan, hampir tersungkur kerana tersandung wayar jurukamera. – UTUSAN ONLINE










