SEREMBAN 21 Okt. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia disaran mencontohi model pergerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang lantang menyuarakan hak orang muda selain kekal releven selama hampir 47 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertubuhan itu merupakan contoh pergerakan belia Islam yang sederhana dan progresif hingga mempu melahirkan pemimpin disegani.
“ABIM telah diberi penarafan lima bintang oleh Kementerian Belia dan Sukan dan kita memang mahu memberi penghargaan menerusi sumbangan kepada pertubuhan itu.
“Sebagai menteri, saya bertanggungjawa untuk memberi apa sahaja bantuan dan dalam masa sama, menjadikan pertubuhan itu sebagai contoh kepada NGO belia yang lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Relawan Malaysia sempena Muktamar Sanawi Ke-47 ABIM, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar dan Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim.
Dalam pada itu Syed Saddiq turut mengingatkan ABIM untuk sentiasa komited dalam mempertahankan belia tidak kira perubahan yang berlaku terhadap landskap politik negara.
Katanya, masa depan anak muda akan sentiasa terbela sekiranya pertubuhan berkaitan lantang menyuarakan hak dan isu mereka. – UTUSAN ONLINE









