LONDON 21 Okt. – Seorang nenek kepada lapan cucu bakal menjadi ibu tertua di United Kingdom (UK) apabila melahirkan kembar empat.
Lapor Metro UK, wanita tersebut, Tracey Britten, 50, bakal melahirkan tiga bayi perempuan dan seorang bayi lelaki selepas membelanjakan 7,000 pound (RM38,047) untuk menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) di Cyprus.
Kehamilan Tracey dilaporkan berusia 30 minggu meskipun doktor meramalkan kandungannya tidak mungkin sampai ke tahap itu.
Doktor menyatakan bayi kembar empat terbabit akan dilahirkan pada bila-bila masa sahaja namun Tracey disaran bersalin menerusi kaedah pembedahan pada awal bulan hadapan.
Namun keempat-empat bayi tersebut perlu dipisahkan sejurus selepas dilahirkan dan dihantar ke hospital lain kerana hospital berdekatan hanya mempunyai dua inkubator.
Menurut Tracey, dia juga diberikan suntikan steroid bagi mencepat pertumbuhan paru-paru janinnya kerana mereka akan dilahirkan lebih awal.
“Doktor menyatakan dia tidak yakin kandungan saya boleh sampai ke tahap ini dan saya tidak akan melepasi 28 minggu kehamilan.
“Saya kini melakukan pemeriksaan setiap minggu. Saya melalui setiap hari dengan baik,” kata Tracey.
Tracey bertemu dengan suaminya sekarang, Stephen pada 2005 dan berkahwin pada 2012.
Dia sudah mempunyai tiga anak berusia 32, 31 dan 22 tahun hasil perkahwinan dengan suami pertama, yang bercerai pada 2003.











