KUALA LUMPUR 20 Okt. – Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berharap Kerajaan Pakatan Harapan dapat meneruskan elaun sara hidup nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 bagi membantu meringankan beban golongan itu.
Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari berkata, sejumlah 48,141 nelayan di seluruh negara masih memerlukan elaun tersebut kerana majoriti mereka hidup di bawah paras kemiskinan.
Walau bagaimanapun kata beliau, Nekmat mencadangkan supaya kaedah pemberian elaun tersebut diperbaharui iaitu 50 peratus dalam bentuk wang tunai manakala sebahagian lagi barangan makanan asas.
“Memandangkan Nekmat mempunyai rangkaian logistik di seluruh negara, jadi dicadangkan supaya kami menjadi pembekal barangan makanan asas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada 8 September lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sedang merangka gerak kerja penambahbaikan elaun sara hidup nelayan dan dijangka siap pertengahan bulan ini.
Menurut beliau, penambahbaikan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar nelayan menerima bantuan tersebut bagi mengelakkan sebarang bentuk ketirisan. – UTUSAN ONLINE










