KUALA LUMPUR 29 Okt. – Biarpun fesyen yang digayakan pelakon dan pengacara terkenal Neelofa sering menjadi kecaman warganet sejak kebelakangan ini, namun perkara itu tidak pernah menjadi kudis kepada dirinya.

Sebaliknya, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd. Noor (gambar), 29, menjelaskan, setiap penampilan yang digayakan adalah bertujuan untuk menarik minat pemain industri fesyen terkenal dunia di Eropah.
Neelofa berkata, dia sudah pun diintai dua agensi fesyen di Kota London, United Kingdom dan Paris, Perancis dan bakal mengikat kontrak dengan mereka pertengahan bulan depan.
“Saya sedar warganet sentiasa memerhatikan gaya fesyen saya dan menjadikannya sebagai bahan jenaka. Tetapi saya tidak ambil pusing kerana gaya dan fesyen saya ini bukan untuk suka-suka.
“Saya menjadi lebih berani dan suka bereksperimen tentang fesyen kerana saya ingin menembusi industri fesyen Eropah. Jika saya kekal dengan imej sebelum ini, saya tidak mampu menarik perhatian orang dalam industri fesyen di sana,” katanya selepas majlis pelancaran beg Lofarbag Mini di Butik Nealofar di sini hari ini.
Masih tidak mahu mendedahkan dua agensi terbabit, kata Neelofa, kejayaan memperoleh tawaran kontrak tersebut adalah hasil daripada keberaniannya berfesyen.
“Buat masa ini, saya tidak mahu mendedahkan nama kedua-dua agensi tersebut. Apabila proses tandatangan kontrak selesai, barulah saya akan umumkan.
“Bersama-sama agensi tersebut, mereka akan menguruskan saya dalam semua perkara berkaitan fesyen dan kecantikan untuk pasaran fesyen Eropah,” katanya.
Sementara itu, Neelofa menafikan bahawa dia akan menetap di Eropah selepas ini memandangkan kerja seni dan perniagaan di sini masih menjadi keutamaannya.
“Walaupun berjaya mencapai cita-cita di Eropah, saya tetap tinggal di Malaysia kerana menguruskan perniagaan dan bekerja untuk industri seni di sini.
“Sekiranya penerimaan di sana positif, saya akan berulang-alik untuk menyelesaikan kerja di sana,” katanya.










