KUALA TERENGGANU 21 Okt.- Sudah enam tahun Nawy Eseh, 54, dari Kampung Gunung Ajil Hulu Terengganu turut serta dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan.
Namun bukan hadiah jadi tarikan walaupun terpaksa berbelanja kerana baginya ia suatu yang menyeronokkan bagi bersama memeriahkan sambutan ulang tahun detik bermakna buat negara dan rakkyat.
Dalam penyertaan kali ini, buruh kampung itu dipilih sebagai johan bagi kategori indivdu( kediaman), dan membawa pulang hadiah wang tunai
RM1,000, plak serta sijil penyertaan.
Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Swady Guliling menyempurnakan penyampaian hadiah dalam Majlis Apresiasi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 di Hotel Sumai, di sini hari ini.
Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Penerangan negeri dibahagikan kepada 10 kategori termasuk bangunan kerajaan, bangunan swasta, sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi awam dan swasta.
Juga kategori kampung tradisional, taman perumahan, Ajung Komuniti Malaysia dan pintu gerbang.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) muncul sebagai johan kategori institut pendidikan tinggi awam dan swasta, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang (sekolah rendah), Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu (sekolah menengah) dan Klinik Kesihatan Kemasik, Kemaman bagi kategori bangunan kerajaan.
Semua pemenang menerima hadiah wang tunai RM2,000 plak dan sijil kecuali kategori bangunan kerajaan yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Pertandingan bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan masyarakat serta menyemai rasa cinta kepada negara.
Dalam majlis tersebut, para peserta Pertandingan Kenegaraan 2018 dan peserta Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2018 yang diadakan baru-baru ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2018 turut diraikan. -UTUSAN ONLINE











