SHAH ALAM – Seorang bekas Ketua Unit Dakwah Jabatan Agama Islam (JAIS) di sini dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan menyalahgunakan kuasa bagi pemberian projek pembekalan kepada syarikat milik abang dan adiknya bernilai RM53,156, dua tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh, Hairul Nizan Mhd. Ideris, 37, yang sebelum ini bertugas di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat dipenjara 31 bulan sekiranya gagal membayar denda RM175,600 bagi kesemua pertuduhan.
Keputusan itu dilakukan Rozilah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Sebelum menjatuhi hukuman, Rozilah menasihatkan tertuduh sebagai penjawat awam semasa kejadian seharusnya mempunyai integriti tinggi bagi mengelakkan gejala rasuah.
“Saya percaya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang agama semestinya lebih mengetahui (buruknya) riba dan rasuah.
“Kedua-dua perbuatan tersebut adalah penyakit akhir zaman dengan rasuah merupakan musuh nombor satu negara.
“Kamu patut bersyukur kerana Allah memberikan peringatan, kerana pengadilan Allah lebih teliti,” tegasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Pegawai Dakwah Gred (S41) bagi mengemukakan permohonan dan syor bagi pembekalan syarikat Prisma Jaya Kini Resources milik abangnya dan syarikat Prisma Maju Trading milik adiknya untuk sembilan program JAIS PAID Hulu Langat berjumlah RM53,156.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh yang telah berkhidmat selama 13 tahun sebagai kakitangan JAIS itu di PAID Hulu Langat bermula 1 Februari hingga 28 Oktober 2016.
Justeru itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Terdahulu pada prosiding tersebut, Peguam Hamidi Mohd Noh mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan kepada anak guamnya yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berusia tiga hingga 12 tahun selain kini adalah seorang penganggur.
“Anak guam saya telah insaf dan merupakan seorang yang aktif dalam sukarelawan terutama dalam kegiatan dakwahnya. Penjara (yang lama) akan membantutkan dakwahnya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail menegaskan rasuah merupakan kesalahan yang serius terutama apabila bertugas sebagai penjawat awam sebelum ini meskipun tertuduh aktif berdakwah.
Sepanjang kes perbicaraan bermula November tahun lalu, seramai 22 saksi pendakwaan dikemukakan dengan pihak pembelaan mengemukakan empat saksi mereka. – K! ONLINE











