Nasib Jamal Khashoggi masih kabur - Utusan Malaysia

Nasib Jamal Khashoggi masih kabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL 18 Okt. – Pasukan penyiasat Turki melakukan siasatan kali kedua terhadap kediaman konsulat Arab Saudi di sini bagi mencari punca ‘kehilangan’ wartawan Jamal Khashoggi, selain Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan pihaknya tidak melindu­ngi Riyadh berhubung insiden tersebut.

Menurut saksi, pasukan penyiasat meninggalkan kediaman tersebut awal pagi ini selepas memeriksa keseluruhan premis dan beberapa kenderaan yang terdapat dalam bangunan berkenaan.

Sebelum itu, pasukan penyiasat menjalankan siasatan selama sembilan jam di kediaman tersebut selain turut memeriksa bahagian bumbung, garaj dan menggunakan perkhidmatan dron bagi memantau kawasan keseluruhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ankara sebelum ini menegaskan mereka percaya Jamal yang merupakan kolumnis akhbar Washington Post dan lantang mengkritik Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman telah dibunuh di bangunan konsulat itu pada 2 Oktober lalu dan mayatnya sudah dialihkan.

Namun, Arab Saudi menafikan dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Trump memaklumkan beliau kini me­nunggu Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pulang dari Riyadh dan Istanbul untuk me­laporkan maklumat terperinci mengenai kehilangan Jamal.

Trump yang menjalin hubu­ngan baik dengan Riyadh dan Putera Mohammed, 33, memaklumkan sudah meminta Turki menyerahkan rakaman audio atau video yang membuktikan Jamal dibunuh serta mayatnya dikerat.

Akhbar pro kerajaan Turki, Yeni Safak melaporkan maklumat mengenai rakaman audio tersebut termasuk dakwaan Jamal dibunuh dalam tempoh beberapa minit dengan jari tangannya dipotong sepanjang soal siasat berjalan sebelum dibunuh dan mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian serta dialihkan.

Setakat ini, Turki masih belum berkongsi rakaman audio tersebut dengan AS serta sekutunya bagaimanapun mengesahkan sebahagian daripada laporan berita yang disiarkan dalam akhbar tersebut adalah benar berdasarkan sumber dan rakaman audio yang dibocorkan.

Trump turut menafikan melindungi Arab Saudi yang didakwa sebagai suspek dalam insiden pembunuhan Jamal dan menyatakan kes sebenar akan diketahui tidak lama lagi.

Sementara itu, Washington Post menyiarkan kolum terakhir tulisan Jamal mengenai kepen­tingan kebebasan akhbar di Asia Barat sebelum dia dilaporkan hilang. – REUTERS/AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini