PONTIAN 24 Okt. – Menikmati nasi ayam sememangnya menyelerakan biarpun hidangannya ringkas cukup dengan ayam, sup, timun, salad serta kuah cili dan kicap. Itulah uniknya nasi ayam kerana boleh dinikmati tanpa lauk tambahan.
Pelbagai nama restoran dan gerai menyajikan nasi ayam ketika ini yang sebelum ini sinonim dengan peniaga Cina tetapi masyarakat Melayu turut tidak ketinggalan menerajui perniagaan makanan berkenaan.
Kedai Nasi Ayam Bohari Big Plate (BBP) di pekan Parit Betak, Benut di sini merupakan legasi Nasi Ayam Bohari di Kuala Lumpur pada 1979. Kedainya unik kerana hanya berdindingkan papan dan tidak besar tetapi tarikannya luar biasa.
Kedai itu yang beroperasi dari pukul 10 pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan kaum walaupun baru dibuka.
Menurut Pengurus BBP, Rafidah Bohari, 27, seramai 10 pekerja memulakan kerja-kerja memasak seawal pukul 7 pagi seperti membasuh ayam dan menyiapkan bahan-bahan untuk memasak.
“Bagi memastikan aroma dan kelainan masakannya, ayam akan digaul dengan pelbagai jenis rempah dan herba yang dibuat sendiri selama 10 minit agar menyerap ke dalam daging ayam.
“Selepas itu, ayam akan dibakar atau digoreng selama 10 hingga 15 minit yang menjadi kelainan berbanding nasi ayam di tempat lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Di BBP katanya, selain nasi ayam biasa, menu lain ialah Nasi Ayam Special dan Nasi Ayam Goreng Sambal yang dijual dengan harga RM6 hingga RM9.50 sepinggan.
Jelas Rafidah, pada hari biasa, kuantiti ayam yang digunakan antara 20 hingga 30 ekor manakala hujung minggu dan cuti umum boleh meningkat kepada 60 ekor ayam sehari.
“Alhamdulilah sambutan sejak BBP dibuka, pelanggan bukan sahaja orang tempatan tetapi dari Batu Pahat, Johor Bahru, Pasir Gudang serta pelanggan dari luar seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Bohari Sukimi, 72, berkata perniagaan itu merupakan warisan keluarga dan kedai tersebut diuruskan Rafidah yang diberikan tanggungjawab mengendalikan kedai dibantu beberapa kakitangan dan tukang masak.
Memandangkan sambutan baik diterima BBP, bekas Ketua Kampung Parit Wahab itu berkata kedai berkenaan sedang dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan menjamu selera.










