PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan pecah amanah pada hari ini dipercayai berkaitan kes pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MBD) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan semalam berkata, bekas Perdana Menteri itu dan Mohd. Irwan akan dituduh secara bersama berhubung siasatan ke atas beberapa kes pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan.
“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Najib dan Mohd. Irwan di mahkamah esok (hari ini).
“Najib dan Mohd. Irwan akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok (hari ini) pada pukul 7.30 pagi untuk pertuduhan tersebut,” jelas kenyataan tersebut lagi.
Terdahulu, Najib dan Mohd. Irwan masing-masing hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini secara berasingan iaitu pada pukul 1.53 dan pukul 3.25 petang untuk melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan terhadap mereka.
Najib menaiki kenderaan Audi Q7 manakala Mohd. Irwan dengan kereta Perodua Myvi.
Najib kemudian meninggalkan SPRM pada pukul 5 petang menaiki Proton Perdana warna hitam tetapi Mohd. Irwan ditahan selepas sepuluh minit dia tiba di SPRM.
Semalam merupakan kali ketiga dalam bulan ini bekas Presiden UMNO itu disoal siasat SPRM berhubung penyelewengan dalam 1MDB dan IPIC. Mohd. Irwan pula telah dua kali dipanggil ke SPRM tetapi semalam dia ditahan.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memaklumkan pihaknya turut mendapat izin untuk mendakwa bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab. Hamid (gambar kecil) berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.
Hasanah ditahan reman oleh SPRM pada 28 Ogos lalu sebelum dibebaskan lima hari kemudian.











