KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas enam pertuduhan pecah amanah wang kerajaan lebih RM6.6 bilion.
Bagaimanapun, Najib, 65, selaku tertuduh pertama dan Irwan Serigar, 61, tertuduh kedua mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Najib dan Irwan Serigar masing-masing didakwa bersama atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan melakukan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM1.2 bilion dan RM655 juta.
Pertuduhan ketiga, Najib dan Irwan Serigar yang diamanahkan ke atas harta sejumlah RM220 juta iaitu peruntukan di bawah Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB) milik kerajaan.
Bagi pertuduhan keempat, mereka dalam jawatan yang sama diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta RM1.3 bilion peruntukan di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai milik kerajaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka juga telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta sejumlah RM1.26 bilion dan RM2 bilion milik kerajaan.
Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










