KUALA LUMPUR – Kesabaran dan ketenangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) sedikit terganggu apabila pengacara program bual bicara, 101 East, Mary Ann Jolley mengajukan soalan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sejurus soalan 1MDB dibangkitkan, Najib bingkas bangun meninggalkan sesi wawancara bersama stesen televisyen, Al Jazeera selepas ditanya mengenai pelbagai tuduhan terhadapnya.
Sebelum itu, Jolley meminta Najib menjawab pelbagai tuduhan daripada isu 1MDB, berlian merah jambu milik isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kepada tiga kes pembunuhan iaitu Altantuyaa Shaaribu, Hussain Najadi dan Kevin Morais.
Bekas Presiden UMNO itu kelihatan ‘berang’ berikutan soalan dikemukakan Jolley menyimpang daripada pertanyaan yang sepatutnya diajukan kepada beliau.
Najib akhirnya meminta Mary Ann beralih kepada soalan berasaskan ekonomi, namun apabila pengacara itu tidak berbuat demikian, beliau bangun dan mengancam untuk meninggalkan sesi wawancara tersebut.
“Bolehkah kita cakap tentang ekonomi? Kita telah habiskan terlalu banyak masa, jika tidak, saya akan keluar.. cukup, tolonglah. Itu saja, saya sudah selesai,” kata Najib sambil berdiri.
“Jika anda mahu bercakap mengenai ekonomi, saya akan duduk,” katanya.
Apabila Mary Ann bertegas untuk meneruskan wawancara itu, Najib yang sedang berdiri meninggikan suaranya.
“Tolonglah, kamu tidak adil kepada saya. Saya telah selesai bahagian saya dan saya tidak akan bertahan lagi untuk ini,” jelasnya.









