Naikkan cukai orang kaya - Utusan Malaysia

Naikkan cukai orang kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin masih lagi menjadi satu isu yang sukar ditangani, malah meningkat dua kali ganda berbanding dua dekad lalu, menurut Laporan Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza.

Laporan itu yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) minggu lalu menunjukkan walaupun krisis ekonomi pada 1987 dan kemudiannya krisis kewangan Asia 1997/1998 menyaksikan penurunan dalam ketidakseimba­ngan pendapatan antara isi rumah kaya (T20), pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40), namun perbezaannya tidak banyak.

Gini Co-efficient yang digunakan untuk mengukur jurang pendapatan ini juga menurun daripada 0.513 mata pada 1970 kepada 0.399 mata pada 2016, menunjukkan peningkatan dalam ketidakseimbangan pendapatan di Malaysia sepanjang 46 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, M. Manokaran berkata, sekiranya mahu merapatkan jurang ini dalam kala­ngan rakyat Malaysia, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan cukai pen­dapatan bagi kumpulan T20 pada pembentangan Bajet 2019 memandangkan mereka me­nyumbang sehingga 46.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan di negara ini.

“Jika kerajaan laksanakan pertimbangan ini dengan kenaikan kadar cukai T20 sebanyak 0.5 peratus, kerajaan boleh mengutip cukai pendapatan tambahan kecil sebanyak RM700 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pada 2016, pendapatan median bagi T20 ialah RM13,148 daripada RM11,610 pada 2014, berbanding pendapatan median B40 hanya RM3,000 iaitu 22.8 peratus daripada pendapatan golongan kaya.

Isi rumah yang memperoleh pendapatan lebih RM13,000 sebulan pula membentuk 10.3 peratus daripada jumlah isi rumah di negara ini (hampir 716,000 daripada 6.95 juta isi rumah).

“Setakat 2018, kadar cukai bagi individu yang berpendapatan melebihi RM12,500 sebulan (T20) adalah 24.5 peratus, 25 peratus, 26 peratus dan 28 peratus.

“Jadi secara mudah kerajaan kemungkinan boleh mengumpul secara purata sebanyak RM1,000 bayaran cukai tambahan setahun bagi setiap individu yang jatuh dalam kategori pendapatan RM150,000 hingga RM250,000 setahun (iaitu RM12,500 hingga RM20,833 sebulan),” katanya.

Kajian KRI itu mencadangkan pembuat dasar supaya melakukan sesuatu menjangkau ukuran Gini Co-efficient semata-mata, yang mewakili perbezaan relatif dalam pendapatan termasuk langkah-langkah untuk menangani jurang pendapatan mutlak.

Malah, kajian tersebut turut menunjukkan isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan membelanjakan 94.8 peratus daripada pendapatan untuk penggunaan manakala keluarga yang mempunyai pendapatan lebih RM15,000 sebulan hanya membelanjakan 45 peratus daripada pendapatan bulanan.

Pengarah Eksekutif dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad, Ismitz Matthew De Alwis berkata, pembangunan modal insan adalah langkah utama yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan ini dalam tempoh sederhana dan jangka panjang.

“Kerajaan dijangka memberi fokus kepada peruntukan pendidikan dan pembangunan modal insan terutama penduduk yang kurang berkemampuan. Dalam masa sama, kerajaan sentiasa berusaha membantu B40 seperti bantuan kewangan, subsidi minyak, skim rumah mampu milik dan pengurangan harga jalur lebar,” katanya.

Dasar-dasar kerajaan terutama dalam mena­ngani masalah B40 akan lebih jelas pada pembentangan Bajet 2019 ini merangkumi pemilikan rumah pertama, me­nurunkan kos sara hidup rakyat dan agenda bumiputera.

“Bagi dua cukai baharu (cukai warisan dan cukai ke atas keuntungan modal) seperti dihebahkan baru-baru ini, kami melihat ia perlu mengambil masa tertentu kerana memerlukan pembaharuan semula cukai yang lebih komprehensif. Namun, dijangkakan dua cukai baharu dilaksanakan iaitu cukai soda dan cukai digital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini