KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pengendali skuad bawah 19 tahun (B-19) Malaysia, Bojan Hodak menyuarakan rasa simpati terhadap pemain tengah Tajikistan, Ziyovuddin Fuzaylov yang mengalami kecederaan dalam insiden ‘ngeri’ ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia, semalam.
Bagaimanapun dalam masa sama, beliau mempertahankan bek kiri negara, Nabil Hakim Bokhari kerana melakukan terjahan tanpa niat jahat, biarpun tindakan tersebut menyebabkan dia dilayangkan kad merah pada minit ke-83.
Dalam aksi Kumpulan D itu, Tajikistan turut menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Khuseyn Nurmatov turut dilayangkan kad merah pada waktu kecederaan.
“Saya harap pemain itu dapat pulih dan kembali beraksi. Apa yang berlaku amat dikesali. Saya sudah bermain bola sepak untuk tempoh yang lama, ini antara kecederaan terburuk yang pernah saya saksikan.
“Apa pun, ia situasi 50-50 tanpa niat buruk. Insiden tersebut mengejutkan kedua-dua pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Tajikistan dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan, kecederaan yang dialami Fuzaylov tidak begitu serius, namun dia terlepas seluruh baki kejohanan kerana perlu berehat dua bulan setengah.
“Menerusi imbasan dilakukan, pasukan perubatan mendapati kecederaan dialami Fuzaylov tidak begitu serius.
“Tiada bahagian yang patah namun sendi buku lali kanannya terkehel. Bahagian yang tercedera sudah dipasang simen.
“Doktor mengganggarkan tempoh pemulihannya memakan masa dua bulan setengah,” kata persekutuan itu dalam laman web rasminya, hari ini.
Pemerhatian awal menyaksikan kecederaannya tampak serius selepas melihat buku lalinya ‘terkulai’ sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital secara serta-merta.
Keputusan seri menyaksikan Tajikistan hanya perlu seri dengan Arab Saudi dalam aksi terakhir untuk layak ke suku akhir manakala Malaysia perlu menang ke atas China, Ahad ini bagi menghidupkan peluang. – UTUSAN ONLINE











