MyCare, Econsave lancar kempen Perahu4Palu - Utusan Malaysia

MyCare, Econsave lancar kempen Perahu4Palu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PALU (Indonesia) 30 Okt. – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam misi kemanusiaan, MyCare dan Pasaraya Econsave melancarkan kempen khas ‘Perahu For Palu’ (Perahu4Palu) bagi membantu golongan nelayan yang terjejas akibat kejadian gempa bumi dan tsunami pada 28 September lalu.

Pengerusi MyCare Johor, Prof. Dr. Mohd. Zin Kandar yang mengetuai misi kemanusiaan ke sini berkata, kempen tersebut dilaksanakan pihaknya selepas melihat ribuan nelayan Palu dan Donggala kehilangan mata pencarian apabila perahu, injin bot dan jaring mereka musnah akibat bencana alam itu.

“Untuk misi kemanusiaan akan datang, kita berharap dapat menyalurkan bantuan perahu, injin bot dan jaring kepada golongan nelayan yang kehilangan sumber pendapatan mereka agar dapat turun semula menangkap ikan.

“Senarai nelayan di Palu dan Donggala yang menerima sumbangan ini akan dikenal pasti dengan bantuan sebuah NGO di sini, iaitu PKPU Human Initiative dan setiap pakej sumbangan itu  dianggarkan berjumlah RM1,500,” katanya semasa melancarkan  kempen berkenaan di perkampungan nelayan Loli Dondo, di sini semalam.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mangsa bencana alam itu boleh menyalurkannya ke dalam akan MyCare.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong kempen berkenaan bagi membantu ribuan nelayan yang kehilangan pendapatan apabila kelengkapan menangkap ikan mereka musnah dilanda tsunami.

“Orang ramai boleh membantu dengan memasukkan sumbangan ke dalam tabung khas yang disediakan di semua pasar raya Econsave di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN