Mustapa perlu diberi peranan penting dalam Bersatu - Utusan Malaysia

Mustapa perlu diberi peranan penting dalam Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 27 Okt. – Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar diberi peranan penting dalam parti bersesuaian dengan reputasi dan ketokohan beliau dalam arena politik tanah air serta pentadbiran negara.

Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, penyertaan Mustapa merupakan khabar gembira dan diterima baik semua pihak sama ada ahli atau pemimpin dalam Bersatu namun setakat ini, tiada jawatan khusus dijanjikan kepada beliau dalam parti.

Bagaimanapun katanya, beliau mengalu-alukan sebarang keputusan pucuk pimpinan sama ada melantik Mustapa sebagai pemimpin bahagian atau di peringkat lebih tinggi bagi membolehkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memainkan peranan dengan lebih berkesan.

“Ketua Bersatu Bahagian Jeli (Dr. Aminuddin Yaacob) sendiri sudah banyak kali memberitahu, beliau tidak ada masalah malah sanggup bantu dan beri laluan kalau Mustapa mahu menggantikan tempatnya bagi menyatupadukan masyarakat di Jeli.

“Di peringkat negeri, saya tidak pasti (jawatan untuk Mustapa) tapi kita amat alu-alukan kalau beliau nak aktif sebagai pemimpin kerana ini beri ruang lebih luas untuk beliau pujuk dan ajak lebih ramai orang UMNO menyertai Bersatu atau mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Kota Bharu yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Bersatu merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md. Arip di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu berkata, beliau yakin pemimpin berjiwa besar seperti Mustapa akan terus berusaha berkhidmat sebaik mungkin kepada parti dan negara walau apa jua jawatan diberikan kepada beliau.

“Beliau seorang intelektual dan masih muda. Tidak kira apa jawatan dia pegang, ada atau tidak, saya yakin dia akan terus beri sumbangan kerana saya kenal dia sudah lama.

“Selaku Naib Presiden, saya akan terus berhubung secara rapat dengan Mustapa khususnya berkaitan urusan di Kelantan cuma sekarang saya masih belum berkesempatan bertemu dengan beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN