KUALA LUMPUR 19 Okt. – Pertuduhan yang dibuat terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa sengaja diadakan bagi meruntuhkan semangat ahli parti tersebut.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, parti itu sedang menghadapi detik yang sangat mencabar apabila Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.
“Tuduhan-tuduhan ini mungkin sengaja diadakan untuk meruntuhkan semangat kita dalam UMNO, sebab itu saya minta semua ahli agar terus istiqamah memberikan sokongan padu kepada pucuk pimpinan.
“Kita buktikan kita boleh jadi pembangkang yang kuat dan berwibawa, tiada sebarang usaha yang boleh mematahkan semangat kita dalam UMNO, selepas ini kita bangkit dan buktikan bahawa UMNO tetap relevan, tetap mara seterusnya menjadi pilihan rakyat untuk agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong yang hadir di pekarangan pintu pagar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Khairy turut berkata, sekiranya ada ura-ura mengatakan Ahli Parlimen UMNO tidak lagi setia, beliau dan beberapa lagi pimpinan tertinggi hadir hari ini untuk membuktikan kesetiaan mereka.
“Saya dan Tan Sri Annuar (Musa) datang pada hari ini, kita tetap setia bersama UMNO.
“Kekuatan kami bersandar pada kekuatan akar umbi…Saya datang dan melihat sendiri ramai datang dari jauh beri semangat untuk kita terus lawan musuh UMNO,” kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu.










