KUALA LUMPUR 15 Okt. – Hanya menunggu masa. Itulah gambaran tepat berhubung keadaan dan struktur tanah di sebahagian tempat di Cameron Highlands, Pahang yang berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh pada masa akan datang.
Situasi bertambah runcing apabila tiba musim hujan dan tiada tindakan serta pemantauan secara berkala pihak berkuasa diambil bagi mengelak kejadian berkenaan berlaku.
Pengarah Geokejuruteraan Tropika (Geotropik), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad berkata, aktiviti menarah bukit untuk membangunkan ladang sayuran menjadi salah satu punca berlakunya mendapan tanah sehingga berisiko menyebabkan tanah runtuh.
Malah, katanya, semakin tinggi dan curam sesuatu kawasan, semakin kurang kestabilannya terutama jika berlaku aktiviti yang menjadi penyumbang hakisan tanah.
“Kita perlu faham apabila satu-satu kawasan di tarah, tanahnya terdedah kepada agen hakisan dan mewujudkan struktur tanah longgar serta tidak stabil kerana tiada pelindung atau tanaman penutup bumi terutama di kawasan cerun bukit.
“Tambahan pula, tanah di Cameron Highlands adalah jenis granit bersifat gembur dan senang terhakis jika ada aktiviti meneroka hutan, lebih-lebih lagi ketika hujan. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan berlakunya ancaman lagi selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, tiga pekerja Myanmar maut akibat tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi selepas hujan lebat.
Dalam pada itu, Edy Tonnizam berkata, sebarang aktiviti yang menyumbang kepada hakisan tanah perlu dihentikan serta-merta terutama pada musim hujan.
“Apabila sesuatu kawasan pernah berlakunya tanah runtuh, ia boleh berlaku lagi kerana struktur tanah menjadi longgar dan mempunyai ruang berlakunya pergerakan melibatkan air dan campuran tanah,” katanya.










