KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pengurangan kos bagi kerja-kerja bawah tanah bagi projek MRT2 seperti diumumkan kerajaan Jumaat lalu, tetap akan memberi kesan kepada Gamuda Bhd. (Gamuda) dengan penganalisis ekonomi menjangkakan kontrak syarikat tersebut akan merosot pada tahun hadapan.
Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research berkata, ini kerana pengurangan kos sebenar sebanyak 38 peratus masih melebihi kuantum maksimum 22 peratus yang dicadangkan oleh syarikat kerjasama MMC-Gamuda dalam rundingan sebelumnya.
“Bagaimanapun, pengurangan sebanyak RM3.6 bilion dalam harga kontrak bagi kerja-kerja bawah tanah ini adalah kurang memberi kesan yang teruk berbanding anggaran pengurangan awal sebanyak RM6 bilion atau 60 peratus daripada harga kontrak,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Konsortium MMC-Gamuda merupakan kontraktor utama untuk kerja-kerja terowong MRT2 yang memperoleh kontrak berkenaan pada 2016.
Jumaat lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan projek MRT2 akan diteruskan oleh MMC-Gamuda selepas syarikat itu bersetuju memberi potongan kos yang lebih besar.
Sebelum ini, MMC-Gamuda bersetuju memberi potongan kos sebanyak RM5.22 bilion untuk kerja-kerja atas tanah yang diterima oleh kementerian tetapi dengan tawaran potongan sebanyak RM2.13 bilion untuk kerja-kerja bawah tanah.
Bagaimanapun, selepas rundingan kali terakhir dibuat, syarikat tersebut bersetuju menambah potongan kos bagi kerja bawah tanah daripada RM2.13 bilion kepada RM3.6 bilion.
Bilangan stesen atas tanah MRT2 terus dikekalkan, kecuali dua buah stesen bawah tanah iaitu Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) akan ditangguhkan. Jumlah stesen sekarang ialah 33 stesen berbanding 35 stesen dalam pelan asal.
Sementara itu, UOB Kay Hian berkata, pengurangan kos itu dibuat dengan membatalkan dua stesen dan margin tersebut mungkin dikecilkan kepada digit tunggal iaitu lima hingga enam peratus berbanding 15 peratus sebelum itu.
“Margin yang dikurangkan akan menyebabkan pendapatan Gamuda lebih rendah daripada dijangkakan (berbanding sebelum dibatalkan) pada suku berikutnya, menghasilkan gabungan margin keseluruhan yang lebih tinggi pada tujuh peratus,” katanya.
Menurut Maybank IB Research, Gamuda dijangka menyaksikan pertumbuhan pendapatan yang negatif bagi tahun kewangan 2019 hingga 2021 walaupun terdapat pertambahan pendapatan daripada pakej bawah tanah.
“Unit tidak terjual masih kekal dalam nilai projeknya pada masa depan dan begitu juga dengan konsesi lebuh raya. Bagaimanapun, ia mungkin digantikan dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” katanya.
Jelas firma itu lagi, dengan pembatalan dua stesen di Bandar Malaysia, ia mencukupi untuk menampung pengurangan kos sebanyak RM3.6 bilion dan menjangkakan baki pakej bawah tanah dapat disiapkan dengan margin lebih rendah.










