MRA teruskan misi bantuan kemanusiaan ke Palu sehingga Disember ini - Utusan Malaysia

MRA teruskan misi bantuan kemanusiaan ke Palu sehingga Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. — Malaysian Relief Agency (MRA) komited untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Kota Palu, Sulawesi sehingga akhir Disember ini.

Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, pasukan kedua MRA yang terdiri daripada enam pegawai perubatan akan menggantikan pasukan perubatan MRA pertama yang akan pulang ke Malaysia, Sabtu ini.

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada pasukan MRA yang bertugas sejak dua minggu lalu, perkhidmatan klinik komuniti di Donggala dan Palu terjejas teruk akibat kerosakan struktur bangunan. Ini menyebabkan mangsa menghadapi kesukaran  untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Daud menjelaskan, secara purata, klinik bergerak MRA menerima antara 50 dan 150 pesakit pada setiap hari.

Antara penyakit yang selalu dirujuk pesakit katanya, adalah termasuk jangkitan respiratori, gastrik, cirit-birit, penyakit kulit dan mulut.

“Penyakit-penyakit  kronik seperti darah tinggi dan kencing manis juga dilihat semakin tidak terkawal kerana pesakit tidak mendapat bekalan ubat yang sewajarnya,” katanya.

Mohd. Daud berkata, mereka yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Sulawesi MRA menerusi akaun Public Bank 39885 91608 yang didaftar atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Untuk maklumat lanjut, katanya, orang ramai boleh menghubungi Mohd. Fadhil Baharudin di talian 013-455 7020 atau pejabat MRA di talian 03-91744672. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN