KEPERITAN mangsa gempa bumi di Palu, Sulawesi terus mendapat perhatian dunia dan Malaysia tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan sewajarnya.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Relief Agency (MRA) yang terkenal dengan misi bantuan kemanusiaan antara pasukan sukarelawan Malaysia yang cekal menabur bakti di negara jiran itu.
Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, MRA komited untuk meneruskan bantuan perubatan kecemasan selama tiga bulan di lokasi yang ditimpa bencana alam itu sehingga akhir Disember ini.
Katanya, pasukan perubatan kedua MRA yang terdiri daripada enam orang anggota perubatan bertolak ke Sulawesi pada 28 Oktober lalu bagi menggantikan pasukan perubatan pertama yang telah pulang ke Malaysia sehari sebelum itu.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima daripada pasukan perubatan pertama MRA yang bertugas di Palu sejak dua minggu lalu, banyak perkhidmatan Klinik Kesihatan Komuniti di Donggala dan Palu terjejas akibat kerosakan struktur bangunan, sekali gus menyaksikan premis tersebut tidak lagi sesuai untuk digunakan.
“Situasi ini menyukarkan mangsa gempa bumi mendapat bantuan rawatan perubatan pada kadar segera ekoran kerosakan struktur bangunan.
“Secara amnya setiap hari, klinik bergerak MRA menerima antara 50 hingga 150 orang pesakit di pusat yang telah ditetapkan oleh pihak keselamatan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Mengulas lanjut, Mohd. Daud berkata, antara penyakit-penyakit yang dihidapi adalah penyakit jangkitan respiratori, gastritis, cirit birit, penyakit kulit serta penyakit mulut.
Tambahnya, penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis juga tidak terkawal kerana pesakit tidak mendapat ubat-ubatan yang sewajarnya.
Selain rawatan perubatan katanya, MRA juga menumpukan rawatan trauma kepada kumpulan kanak-kanak di kawasan penempatan sementara.
Katanya, MRA dibantu oleh rakan-rakan lapangan tempatan iaitu Dewan Dakwah Indonesia (DDI) telah mewujudkan sebuah pusat kanak-kanak dan wanita dinamakan ‘Sekolah Hatiku Senang’ di kawasan khas yang menempatkan hampir 200 buah keluarga.
“Program rawatan trauma dalam bentuk pendidikan, aktiviti-aktiviti menarik dan bantuan sokongan psikososial adalah bentuk bantuan yang sangat diperlukan untuk mengalihkan tumpuan kanak-kanak daripada kejadian bencana lepas.
“Sehubungan itu, MRA berhasrat untuk mewujudkan empat buah lagi ‘Sekolah Hatiku Senang’ bagi menampung permintaan daripada penduduk setempat,” katanya.
Isu meruncing
Sementara itu, menurut Mohd. Daud, masalah mendapat bekalan air bersih untuk minum dan kebersihan diri adalah isu yang sangat meruncing melanda di lokasi bencana alam tersebut.
Jelasnya, kekurangan air bersih menyebabkan penyakit seperti penyakit cirit birit dan penyakit kulit mudah merebak.
Untuk itu, katanya, MRA telah mengambil pendekatan jangka pendek dengan meletakkan 15 buah tangki air berkapasiti 5,000 liter sebuah bagi diletakkan di pusat-pusat penempatan itu.
Katanya, bagi memastikan sumber air bersih dibekalkan secara berterusan, MRA merancang untuk melaksanakan 20 buah projek telaga air bersih dalam masa yang terdekat dengan harga kos sekitar RM10,000 setiap satu dan projek telaga air ini bakal memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk yang menghadapi masalah kekurangan air bersih.
“Secara keseluruhan, MRA menyasarkan jumlah bantuan kecemasan sebanyak RM500,000 pada fasa kecemasan dan rehabilitasi selama tiga bulan.
“Jumlah ini merangkumi projek semasa MRA seperti bantuan perubatan, pusat kanak-kanak serta wanita, projek air serta sanitasi yang sedang dilaksanakan dan dirancang,” katanya.
Atas tujuan itu jelasnya, MRA telah membuka pejabat satelit di Palu untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Sehubungan itu menurutnya, sekiranya rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan boleh melakukannya dengan menyalurkan bantuan ke Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Sulawesi MRA melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.
Untuk maklumat lanjut katanya, orang ramai boleh menghubungi Mohd. Fadhil Baharudin melalui talian 013-4557020 atau pejabat MRA (03-91744672).









