KUALA LUMPUR 19 Okt. – Malaysian Relief Agency (MRA) menerima suntikan semangat untuk terus melaksanakan misi bantuan kepada kumpulan memerlukan apabila menerima sumbangan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) daripada Yayasan Noah.
Kenderaan-kenderaan tersebut kemudiannya diserahkan kepada MRA Kedah dan Kelantan bagi memudahkan kerja-kerja membantu komuniti Orang Asli serta bantuan kemanusiaan ketika musim banjir dilaksanakan.
Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman percaya, dengan adanya kenderaan tersebut, kerja-kerja dilakukan MRA Kedah dan Kelantan akan menjadi lebih mudah serta efisien dalam usaha membantu golongan memerlukan.
Lebih-lebih lagi kata Mohd. Daud, MRA sedang bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir di beberapa negeri susulan laporan hujan berterusan bermula November hingga Mac tahun depan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Kami di MRA amat bersyukur dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Noah atas sumbangan yang begitu bermakna buat semua warga kerja dan sukarelawan MRA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis penyampaian dua buah 4WD kepada wakil MRA Kedah dan Kelantan telah disempurnakan Mohd. Daud di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Daud mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan korporat, kebajikan dan orang perseorangan untuk terus menyumbang kepada Tabung Bencana Banjir MRA dalam usaha membantu memudahkan urusan bantuan kemanusiaan.
Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5640 9820 6365 atas nama Malaysia Relief Agency.
Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pejabat MRA di talian 03-91744672 atau layari Facebook: MalaysianReliefAgency.










